Family Khairul Rashidi: Konsep Ibadah Dalam Islam

Konsep Ibadah Dalam Islam

Ibadah dalam Islam mempunyai pengertian dan ruang lingkup yang amat luas dalam kehidupan umat manusia sejagat . Yang paling pentingnya ialah ibadah merupakan salah satu tanggungjawab yang terpikul di bahu setiap insan yang beriman kepada Allah taala
 . Malahan ibadah juga merupakan antara matlamat dan hikmah utama di sebalik penciptaan manusia di muka bumi Allah taala ini . Firman Allah taala dalam surah Az Zariyat , ayat 56 yang bermaksud : Dan ( ingatlah ) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu .

Seterusnya , ibadah termasuk antara ciri-ciri garis pemisah dan juga neraca piawaian yang membezakan dan juga memisahkan antara insan yang beriman dengan insan yang kufur kepada Allah taala. Demikianlah betapa besar dan pentingnya peranan ibadah dalam menentukan nasib kesudahan kehidupan manusia sama ada di dunia maupun di akhirat .

Kedapatan masih ramai umat Islam yang kurang memahami dan menghayati maksud ibadah yang sebenarnya sebagaimana yang dikehendaki Islam . Rata-rata umat Islam mendefinisikan ibadah itu hanya sekadar menunaikan tuntutan ibadat fardhu sahaja seperti solat , puasa , zakat dan haji sahaja . P ada mereka dengan menunaikan amalan fardhu tersebut sudah memadai sebagai seorang Islam .

Di samping itu, mereka juga menganggap amalan keduniaan bukannya sebahagian daripada maksud ibadah dan ini menyebabkan mereka meminggirkan hal-hal keduniaan dari kamus kehidupan mereka. Sedangkan , apa yang dikehendaki atau dituntut oleh Islam sebenarnya adalah lebih daripada itu iaitu mencakupi sama hal duniawi dan ukhrawi . Ini adalah sebahagian daripada salah faham terhadap Islam di kalangan umat Islam yang berpunca dari kejahilan mereka sendiri terhadap ajaran Islam yang sebenarnya .

Ibadah dalam Islam bukan hanya sekadar melibatkan hubungan kita dengan Allah taala sahaja , malahan ianya juga merangkumi hubungan kita dengan sesama manusia . Dengan lain perkataan, ibadah di dalam Islam tertegak atas dua paksi iaitu paksi menegak yang membawa maksud hubungan yang terjalin antara hamba Allah dengan Khaliqnya di dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya . Paksi yang kedua ialah paksi mendatar yang menyaksikan hubungan antara sesama manusia dalam ruang lingkup kehidupan mereka seharian . Kedua-dua paksi tersebut sebenarnya adalah manifestasi dari mafhum istilah hablun minallah dan juga hablun minannas .

Ibadah menurut pengertian syarak ialah ketundukan dan kepatuhan yang penuh tulus lagi kudus serta ketaatan yang mutlak serta tidak berbelah bahagi hanya kepada Allah taala yang dikenangkan limpahan kurnia kebaikan-Nya serta dirasai dalam hati nurani akan kehebatan-Nya dan kekuasaan-Nya . Ketundukan dan kepatuhan ini bukan hanya datang dari pihak umat manusia , malahan ianya juga melibatkan sekelian makhluk Allah taala yang menghuni alam maya ini.

Firman Allah taala dalam surah Al Ra’d , ayat 15 - 16 yang bermaksud : “Dan kepada Allah jualah sekelian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut , samada dengan sukarela atau dengan terpaksa dan ( yang demikian ) juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang . Bertanyalah ( wahai Muhammad ) : Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi ? Jawablah : Allah . “
Mafhum dari ayat suci tersebut jelas mengisyaratkan bahawa semua makhluk Allah di alam semesta yang terbentang luas ini tunduk dan patuh menurut di bawah kekuasaan dan pentadbiran Allah yang Maha Agung dan juga tunduk dan patuh kepada peraturan-Nya yang telah ditetapkan dalam kitab suci Al Quran , samada mereka suka atau tidak , samada disedari atau tidak disedari .

Oleh kerana manusia diciptakan Allah taala bersama perhiasan batiniah dan zahiriah , maka kedua-dua batin dan zahir manusia tadi sewajibnya ditundukkan untuk menepati makna pengabdian kepada Allah taala . Batin manusia yang bertapak di sudut hati wajib disemai benih-benih keimanan kepada Allah taala yang berpaksikan rukun iman yang enam iaitu beriman kepada Allah taala , para nabi dan rasul-Nya , para malaikat-Nya , kitab-kitab-Nya , hari akhirat dan beriman kepada qadha dan qadar Allah taala . Di samping itu juga , hati manusia seharusnya disuburkan dan dibajai dengan sifat-sifat yang terpuji seperti ikhlas , redha , syukur dan seumpamanya yang akan melengkapkan makna pengabdian yang sebenar kepada Allah taala .
Manakala zahiriah manusia pula hendaklah dijelmakan dalam bentuk ketundukan jasmaninya yang terdiri daripada anggota pancainderanya yang lima dalam melaksanakan ibadah dan amal soleh kepada Allah taala . Oleh sebab itulah , disyariatkan ibadat solat , zakat , puasa , haji , zikir , bersedeqah dan sebagainya yang merupakan manifestasi terhadap apa yang bertapak dalam sudut hati setiap hamba Allah .

Pendekata , seluruh kehidupan insan sebenarnya adalah merupakan satu pengabdian kepada Allah taala pada setiap masa dan ketika . Ini sejajar dengan firman Allah yang bermaksud : “ Katakanlah ! Sesungguhnya solatku dan ibadahku , hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam . Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku ) adalah orang Islam yang awal pertama - ( yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya ). “( Al An’am : 162 - 163 )

Bertitik tolak dari sini , jelas bahawa ibadah dalam Islam mempunyai tasawwur atau worldview yang cukup luas sehingga mencakupi setiap detik dan ruang lingkup yang berkaitan dalam kehidupan manusia sejagat . Tidak timbul persoalan samada ianya adalah hal ukhrawi maupun hal duniawi , kedua-duanya termasuk dalam pengertian ibadah dalam Islam sekiranya ianya menepati ketetapan dan syarat yang telah digariskan oleh landasan syarak .

Dengan ini , konsep ibadah dalam Islam telah menolak sama sekali amalan atau kepercayaan umat Islam kini yang hanya menghayati Islam atau roh beribadat pada musim-musim tertentu sahaja . Sebagai contohnya , bila sahaja bulan Ramadhan Al Mubarak menjelang , maka umat Islam mula sibuk untuk beribadah dan beramal saleh sebanyak mungkin sepetri membaca Al Quran , beriktikaf , bersedeqah dan sebagainya sedangkan sebelum kedatangan atau selepas bulan tersebut , mereka buat endah tak endah sahaja dalam melakukan ibadah yang dituntut Islam .

Begitu juga dalam musim haji terutamanya yang menunaikan fardhu haji di mana mereka beribadah sebaik mungkin semasa berada di tanah suci . Akan tetapi , bila pulang sahaja ke tanah air , semangat beribadah mula luntur dek zaman yang berlalu . Ini menunjukkan betapa roh keislaman yang terisi dalam sudut hati umat Islam hanyalah bermusim seumpama bermusimnya buah-buahan tempatan .

Ibadah yang sebenarnya menuntut seseorang muslim agar beristiqamah atau beriltizam dengan ajaran Islam pada sepanjang masa dan ketika , bukannya hanya pada musim-musim tertentu seperti bulan Ramadhan , Zulhijjah dan sebagainya . Seorang muslim yang bertakwa tetap terus melaksanakan ibadah kepada Allah taala dengan penuh khusyuk dan tawadhuk tanpa mengira musim dan ketika kerana baginya amalan saleh dan ibadah merupakan satu bekalan dan persiapan yang wajib sebelum mengadap Allah taala. Malahan ibadah juga adalah hidangan rohaninya dan penawar hatinya untuk mendampingi Allah taala .
Apabila telah sampai kepada tahap inilah , individu muslim tersebut telah dijamin Rasulullah SAW akan mengecapi kemanisan iman yang merupakan kemuncak matlamat hamba Allah yang bertakwa sebagaimana tergambar dalam sabda baginda SAW yang bermaksud : Ada tiga perkara jika ianya terdapat pada seseorang , nescaya dia telah dapat mengecapi kemanisan iman ; iaitu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya mengatasi segala-galanya ; kedua , dia mencintai saudaranya kerana Allah taala dan ketiga , dia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah diselamatkan Allah taala daripadanya sebagaimana bencinya dia untuk dicampakkan ke dalam api neraka . (Riwayat Bukhari dan Muslim) .

Perlu ditegaskan bahawa ibadah dalam Islam tidak hanya menjurus kepada syiar ibadat sahaja , bahkan ianya juga merangkumi sama aspek ekonomi , pergaulan , sosial , politik , kebudayaan , budaya hidup dan sebagainya sejajar dengan ciri-ciri keistimewaan Islam yang bersifat syumul dan universal . Dengan ini , apa-apa sahaja gerak geri dan tindakan seseorang muslim di dalam kehidupan seharian tidak dapat lari dari pengertian ibadah kepada Allah taala . Lebih-lebih lagi , Islam itu sendiri sudah pun merupakan satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh .

Sehubungan itu , Allah taala berfirman dalam surah Al Baqarah , ayat 177 yang bermaksud : “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat , tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat , segala malaikat , segala kitab dan sekelian nabi ; dan mendermanya seseorang akan hartanya - sedangkan dia menyayanginya - kepada kaum kerabat , anak-anak yatim , orang-orang miskin , orang-orang yang terlantar dalam perjalanan , kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi ; dan mengerjanya seseorang akan solat serta mengeluarkan zakat ; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila membuat perjanjian ; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang jihad . ( Orang-orang yang demikian sifatnya ) , mereka itulah orang-orang yang benar ( beriman dan mengerjakan kebajikan ) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa . “

Perlu dijelaskan bahawa ibadah yang dilaksanakan itu sewajibnya berorientasikan kerana Allah taala kerana kepada-Nya jualah kita beribadah sebagaimana intipati ayat 5 , surah Al Fatihah yang sentiasa diulang-ulang sekurang-kurangnya 17 kali siang dan malam yang membawa maksud : Engkaulah sahaja ( Ya Allah ) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan . Mafhum ayat suci tersebut juga mengungkapkan perintah ilahi supaya kita tidak menyembah yang selain daripada-Nya seperti berhala , jin syaitan , nafsu dan sebagainya . Ini adalah kerana Allah taala telah berfirman dalam surah Al Ikhlas , ayat 1 - 4 yang bermaksud : Katakanlah ( Wahai Muhammad ) ! ( Tuhanku ) ialah Allah yang Maha Esa . Allah Yang menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat . Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan . Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya .

Kesimpulannya , setiap individu muslim sewajibnya menginsafi bahawa seluruh kehidupannya sebenarnya adalah merupakan satu ibadah yang diambilkira dosa dan pahalanya oleh Allah taala . Oleh sebab itulah , setiap muslim sewajarnya bermuhasabah pada setiap masa terhadap amalan dan pergaulan sehariannya agar ianya termasuk dalam koleksi amalan saleh yang diterima Allah taala akhirnya .

Artikel dipetik dari tulisan Drs. Ungku Ahmad Zaki.
http://blogs.udm.edu.my/drkuzaki/2008/02/09/konsep-ibadah-dalam-islam/

0 comments:

Post a Comment