Islam adalah satu-satunya Al-Din yang diredai Allah taala untuk umat manusia yang menghuni bumi Allah ini. Islam itu bermaksud ketundukan dan kepatuhan yang penuh ikhlas hanya kepada Allah taala semata-mata. Oleh itu, sesiapa yang melafazkan dua kalimah syahadah, maka dia telah termasuk dalam warga umat Islam. Sebagai Muslim, dia mesti patuh dan taat kepada segala titah perintah Allah dan juga menjauhi segala larangan-Nya.
Dalam Islam, Allah taala telah menetapkan berbagai jenis ketaatan dan juga larangan kepada umat Islam sebagai garis pemisah antara taat dan ingkar, antara Muslim dan kafir. Dengan ini, barulah dapat dilihat siapakah di kalangan umat Islam yang bersegera menunaikan perintah Allah atau sebaliknya. Dalam hal ini, Allah taala ada berfirman yang bermaksud: Kemudian kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim terhadap dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran Al-Quran), dan ada di antaranya yang bersikap sederhana, dan diantaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebajikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia besar (dari Allah semata-mata). (Surah Fatir, ayat 32)
Maksud ayat di atas menjelaskan bahawa perwatakan Muslim itu sendiri terbahagi kepada tiga golongan iaitu golongan Muslim yang menzalimi dirinya sendiri kerana tidak tunduk dan patuh kepada ajaran Islam, golongan yang bersederhana dalam pembawaan dirinya dan akhirnya golongan Muslim yang bersegera dalam melaksanakan kebajikan dan ketaatan kepada Allah.
Lanjutan dari itu, ketaatan amat penting dihiasi dalam diri setiap Muslim dan inilah ciri utama Muslim yang bertakwa kepada Allah. Ketaatan jgualah bekalan harta yang berharga dan berkekalan di sisi Allah taala pada hari akhirat kelak berbanding harta dunia yang bersifat sementara. ini bertepatan dengan firman Allah taala dalam surah al-Baqarah, ayat 197 maksudnya: Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (memelihara diri dari keaipan meminta sedekah.
Apabila dikaji di dalam al-Quran, terdapat empat jenis ketaatan yang wajib dujunjung dan dilaksanakan oleh setiap Muslim. Keempat-empat jenis ketaatan tersebut terungkap dalam firman Allah taala dalam surah al-Nisa’, ayat 59 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Dalam ayat yang lain, Allah juga berfirman maksudnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah kamu berbuat baik. (Surah al-Isra’, ayat 23)
Berdasarkan ayat di atas, terdapat empat jenis ketaatan yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim iaitu ketaatan kepada Allah, ketaatan kepada Rasulullah SAW, ketaatan kepada kedua ibu bapa dan ketaatan kepada pemimpin Islam.
Pertamanya, ketaatan kepada Allah merupakan intipati terpenting dalam ajaran Islam yang sebenarnya. Ia membawa maksud setiap Muslim hendaklah menyakini dengan penuh kudus dihiasi perasaan cinta dan kasih kepada Allah taala semata-mata melebihi dari segala apa yang dicintai di dunia. Termasuk juga dalam erti kata taat kepada Allah, keimanan kepada Allah yang merangkumi Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah .
Dengan lain perkatan, ketaatan kepada Allah perlu diterjemahkan melalui hati dengan kepercayaan yang mutlak kepada Allah semata-mata, melalui lidah yang melafazkan keimanan dan ketundukan kepada Allah serta melalui anggota tubuh badan yang tunduk sujud penuh rendah diri kepada Allah sebagai pencipta dan Tuhan sekelian alam semesta ini. Dengan ini, hanya Allah sahajalah yang berhak dipuji dan dipuja sepanjang masa. Hanya Allah jugalah yang berhak disembah dan diminta pertolongan. Begitu juga Allah taala memiliki sifat-sifat kesempurnaan tiada cacat celanya yang mampu mendatangkan manfaat dan mudarat kepada makhluk-Nya.
Keduanya, ketaatan kepada Rasulullah SAW menyingkap makna kepatuhan dan ketaatan terhadap apa juga yang dibawa olehnya. Tambahan pula, apa-apa yang dibawa olehnya itu merupakan perutusan Allah memandangkan Rasulullah SAW merupakan pesuruh Allah yang ditugaskan untuk membawa kerahmatan Islam kepada umat manusia seluruhnya. Oleh sebab itulah, umat Islam dituntut taat kepada Rasulullah kerana taat kepadanya bermakna taat kepada Allah juga sebagaimana firman Allah taala dalam surah al-Nisa’, ayat 80 yang bermaksud: Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah.
Perlu diingat bahawa ketaatan kepada Allah dan juga kepada Rasulullah SAW merupakan ketaatan yang mutlak, tidak boleh disanggah dan dibangkang sama sekali dalam apa juga keadaan sekalipun. Ini menunjukkan setiap Muslim wajib menuruti segala titah perintah Allah taala dan juga perintah Rasulullah SAW serta menjauhi segala apa yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya walaupun ia tidak bersesuaian dengan kehendak hawa nafsunya dan kebiasaannya. Ini sesuai dengan maksud firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 36: Tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara- (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
Ketiganya ialah ketaatan kepada kedua ibu bapa. Dalam Islam, taat kepada kedua ibu bapa menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dalam perkara ketaatan. Jika ditinjau di dalam al-Quran, perkara taat kepada ibu bapa diulang-ulang sebanyak empat kali menunjukkan betapa tingginya kedudukan ketaatan kepada ibu bapa di sisi Allah taala. Setiap Muslim diwajibkan taat kepada ibu bapa kerana merekalah yang telah melahirkan kita untuk mengharungi perjalanan hidup dan juga kerana mereka telah bersusah payah membesarkan kita dan seterusnya mendidik kita dengan penuh kasih sayang agar kita menjadi insan yang berguna dan juga bertakwa kepada Allah taala. Melihatkan kepada jasa ibu bapa yang tidak terhitung itu, maka sewajibnya seorang anak itu patuh dan taat kepada kedua ibu bapa kerana sampai bila-bila pun jasa ibu bapanya tidak akan berbalas biarpun jutaan ringgit dibelanjakan, biarpun harta berlonggok umpama gunung Everest sekalipun tidak akan dapat menandingi kehebatan jasa ibu bapa. Demikianlah Allah taala memuliakan ibu bapa sehingga menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah taala.
Taat kepada ibu bapa tidak cukup sekadar kita melafazkan ucapan terima kasih semata-mata, malah lebih dari itu. Setiap anak diwajibkan berbuat baik kepada keduanya dengan rela hati sebagaimana mereka berdua berbuat baik kepada kita semasa kita kecil dahulu. Apabila seorang anak menjadi dewasa, maka tanggungjawab beralih kepada anak pula untuk menjaga dan memelihara ibu bapanya dengan perhatian, kasih sayang, perlindungan, kebahagiaan dan sebagainya. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibu bapanya. Begitu juga kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapanya. ( Hadis riwayat Hakim)
Akhirnya ialah ketaatan kepada pemimpin Islam yang datang seiring dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Taat kepada pemimpin berbeza sedikit dengan taat kepada Allah dan Rasul kerana ia bersifat relatif. Dengan lain perkataan, umat Islam hanya diperintahkan taat kepada pemerintah selama mana pemerintah itu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menyuruh dan mengajak kepada kebaikan, keadilan serta berusaha ke arah kesejahteraan ummah, Sebaliknya, jika pemerintah itu zalim, mengajak dan menyuruh kepada kemungkaran dan kebatilan, maka umat Islam tidak wajib mentaatinya dan seterusnya umat Islam bertanggungjawab untuk memperbetulkan kesilapan pemerintah dengan hikmah dan bijaksana.
Memadailah Abu Bakar al-Siddiq sebagai model ikutan kita dalam hal ini terutamanya dalam ucapan dasar beliau apabila dilantik sebagai khalifah: “Taatlah kalian kepadaku selama mana aku taat kepada Allah dan Rasul. Tetapi jika aku berbuat maksiat, janganlah kalian taat kepadaku. Bantulah aku jika aku benar dan luruskanlah aku jika aku salah.”
Dalam menghadapi arus persaingan hidup yang serba mencabar ini, kita mesti mengekalkan keempat-empat jenis ketaatan ini dalam hidup kita sekiranya kita ingin melayakkan diri kita sebagai Muslim yang beriman lagi bertakwa kepada Allah. Hanya dengan ketaatan tersebut, barulah kita dapat mengecapi nikmat kebahagiaan yang sejati yang dijanjikan Allah kepada mana-mana Muslim yang bertakwa kepada-Nya sahaja.
Dipetik dari tulisan Dr Ungku Ahmad Zaki
0 comments:
Post a Comment