Manhaj salaf bukanlah suatu rekaan (dongengan) yang diada-adakan oleh pendahulu umat ini. Ia tertulis dalam al-Quran, hadis-hadis sahih dan di dalam syair -syair Arab.
Manhaj Salaf adalah metodologi yang benar-benar dapat menyelamatkan akidah, ibadah dan akhlak umat Islam sejak zaman awal sahabat sehinggalah keakhir zaman.
Kerana sesungguhnya manhaj salaf adalah manhaj yang dititi, dipegang dan digigit dengan gigi geraham oleh para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabi’in serta mereka-mereka yang mengikut jalan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Manhaj ini adalah manhaj yang paling selamat.
Oleh itu ia wajib dipelajari, diketahui, difahami, dibela (disokong) dan menjadi mazhab setiap orang-orang yang beriman kepada agama Islam.
Dengan memahami manhaj ini, seseorang dapat melaksanakan segala kewajipan yang disyariatkan dengan sempurna. Manhaj Salaf mengajar umat bagaimana meninggalkan segala larangan, mengamalkan segala suruhan, mengikut contoh tauladan serta memahami pemahaman sebaik-baik insan dan umat yang telah dilahirkan ke dunia. Hanya manhaj ini yang dapat menyelamatkan akidah, ibadah dan akhlak seseorang dari segala jenis bid’ah., khurafat, tahayul dan kesyirikan yang menyesatkan.
Tiada jalan dan cara yang paling selamat dan efisien untuk menyelamatkan umat, kecuali setelah mereka menyedari akan kebenaran dan selamatnya manhaj ini dan seterusnya menyandarkan pendisiplinan ilmu, akidah, ibadah dan akhlak mereka melalui manhaj yang telah dijamin oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagai sebaik-baik manhaj. Ini telah dikhabarkan dalam firmanNya dan juga di dalam hadis-hadis Nabi-Nya sallallahu ‘alaihi wa-sallam.
Manhaj Salaf telah dipelihara oleh wahyu dengan terpeliharanya al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Telah diamalkan dan dijaga dengan rapi terutamanya oleh generasi sahabat yang telah diredai dan dimuliakan oleh Allah Azza wa-Jalla. Manhaj Salaf adalah warisan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam kepada generasi yang termulia di kalangan umat manusia yang ada di dunia ini. Oleh yang demikian sewajarnya diingat bahawa setiap muslim perlu ada tiga dasar pada diri mereka agar menjadi Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf yang sebenar iaitu:
Pertama: Berpegang kepada kitab suci al-Quran sebagai Kitabullah yang berisi dalil-dalil qati’i dan hujjah-hujjah tauqifi.
Kedua: Berpegang teguh kepada al-Hadis yang sahih setelah al-Quran kerana ia adalah sunnah Rasulullah. Iaitu menyerah dan berpegang secara mutlak kepada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Sama sekali tidak menolaknya. Tidak melaga-lagakan antara satu dengan yang lain. Tidak menyangkal dengan akal sebagaimana perbuatan Mu’tazilah, dengan perasaan sebagaimana Ahli Ahwa (Ahli Hawa Nafsu atau Ahli Bid’ah), dengan mimpi sebagaimana ahli sufi dan tarikat atau dengan ilham sebagaimana Ahli Falsafah. Dan tidak ada yang diutama dan didahulukan setelah adanya nas al-Quran dan as-Sunnah.
Ketiga: Berjalan (mengikut) atau bermanhaj Salaf as-Soleh dengan cara menyandarkan pemahamannya sama ada dalam persoalan akidah, ibadah, muamalah dan akhlak secara berdisiplin dan utuh. Dan semuanya ini diperolehi melalui bertalaqi (belajar dengan berguru, bukan semata-mata melalui buku atau mentala’ah kitab-kitab semata).
Sesiapa sahaja boleh mengaku sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah tetapi ia hanya benar-benar meniti jalan yang hak dan sempurna apabila berpegang kepada bahagian yang ketiga iaitu kembali kepada manhaj Salaf as-Soleh. Kerana manhaj ini selain dapat menyelamatkan iktiqad, amalan dan akhlak maka ia juga yang mampu menyatu- padukan umat dalam satu ikatan “Al-Jamaah”.
Manhaj Salaf akan menyelamatkan pengikutnya dari perpecahan yang berpunca berintima’ (menasabkan diri) kepada individu, kumpulan, golongan atau berbagai-bagi hizbi (kelompok perpecahan).
DEFINISI MANHAJ
Manhaj (المنهج), nahaj (النهج) atau minhaaj (المنهاج)dari madah: نَهجا– يَنهج – نَهجyangsemuanya mempunyai satu makna. Dari segi bahasa manhaj ialah:[1]
اَلطَّرِيْقُ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ ، وَيُطْلَقُ عَلَى الطَّرِيْقِ الْمُسْتَقِيْمِ اَوِالسُّنَّةِ.
“Jalan yang jelas, terang dan dikatakan juga (mengikut) jalan yang lurus[2] atau mengikut sunnah”.
Kalimah manhaj/minhaj bermakna jalan yang terang atau mengikut sunnah. Ia disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
“Untuk tiap-tiap umat (antara kamu), Kami berikan aturan dan jalan yang terang (atau sunnah)”.[3]
Berkata Abu Ja’far, bahawa manhaj ialah: “Jalan yang terang atau jelas” (البيان الواضح).[4] Dan apabila dikatakan (طريق نَهج) bererti “Jalan Yang Terang” atau (بين) “Jelas”.
Menurut Ibn Kathir rahimahullah manhaj ialah:
فَهُوَ الطَّرِيْقُ الْوَاضِحُ السَّهْلُ
“Maka manhaj ialah jalan yang terang dan mudah”.[5]
Manhaj juga dapat difahami menurut sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas radiallahu ‘anhu yang diriwayatkan dari Mujahid, Ekrimah, Hasan al-Basri dan selain mereka:
قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : سَبِيْلاً اَوْ سُنَّةً
“Berkata Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhu bahawa manhaj ialah: Jalan atau sunnah”.[6]
سُنَّةُ النَّبِي ، اَوْ الْبَيِّنُ الْوَاضِحُ
“Manhaj ialah: Sunnah Nabi. Atau yang terang dan yang jelas”. [7]
Manhaj atau minhaj dimaksudkan juga sebagai mazhab (aliran atau jalan). Walaupun mazhab sering digunakan untuk aliran fikah tetapi ia sering juga digunakan atau dimaksudkan dengan maksud yang sama dengan manhaj. Seperti disebut: “Manhaj as-Salaf as-Soleh atau Mazhab as-Salaf as-Soleh”.
APA ITU SALAF?
Sesungguhnya kalimah (perkataan) salaf (سلف) telah dikenali sama ada dalam Bahasa Arab atau melalui pengertian syara.[8] Perkataan salaf telah dikenal sejak sekian lama oleh masyarakat Arab antaranya melalui syair-syair Arab yang terkenal.
Salaf menurut bahasa (etimologi) ialah: “Orang-orang yang awal (تقدم)iaitu yang mula-mula atau (سبق)orang-orang yang terdahulu (yang telah berlalu).[9] Dimaksudkan juga pendahulu bagi suatu generasi.[10] Atau:
من تقدمك من آبائك وذوي قرابيك الذين هم فوقك فى السن والفضل.
"Salaf: Sesiapa yang mendahului kamu seperti ibu bapa, kerabat yang lebih tua pada umur atau kedudukan".[11]
Antara yang paling benar (tepat dan rajih) pengertian salaf ialah:
“Orang-orang yang terawal (yang terdahulu) terutama dari para Nabi, para sahabat Nabi, para tabi’in dan mereka yang mengikut jejak (meniti manhaj) mereka-mereka yang telah lalu terutama para imam mujtahid yang empat”.[12]
Yang dimaksudkan dengan salaf ialah: Sahabat, yang mengikut sahabat (tabi’in), yang mengikut tabi’ut at-tabi’in dan a’immatul Islam yang adil, yang disepakati oleh umat tentang keimaman mereka dalam agama, yang hebat peranan mereka pada menegakkan agama, orang-orang Islam menerima kata-kata mereka sama ada dari kalangan salaf atau khalaf, meredai dan menerima mereka. Seperti dua orang Syufiyan, Laith bin Sa’ad, Abdullah bin Mubarak, Ibrahim Nakhi, al-Bukhari, Muslim dan keseluruhan ashabus sunnan rahimahumullah. Dan tidak termasuk mereka yang tertuduh sebagai golongan ahli bid’ah dan menerima gelaran yang tidak diredai seperti Khawarij, Rawafidh, Mu’tazilah, Jabariyah dan semua firqah yang sesat. Maka mazhab Salaf ialah: Sesiapa yang berpegang kepada iktikad yang disandarkan kepada para Salaf as-Soleh.[13]
Telah dinukil dari as-Safarini dari kitab “Al-Lawami’ اللوامع” dari Ibnu Rejab. Ia telah menentukan had zaman yang dinamakan zaman salaf, yang mana beliau berkata:
“Pada ketika ini, penentuan zaman salaf menurut kitab yang termuat kata-kata para a’immah as-Salaf yang menjadi contoh iaitu hanya sampai ke zaman as-Syafie, Ahmad, Ishak dan Abi Ubaid. Namun manusia telah diperingatkan tentang bid’ah selepas mereka kerana akan berlaku selepas mereka bid’ah yang amat banyak”.[14]
Mereka yang ditunjukkan di atas adalah para salaf yang dinasabkan kebaikan dan digelar sebagai Ahli al-Hak. Diikuti (ditaati) athar mereka kerana mereka hidup dikurun yang terbaik sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di beberapa hadis yang sahih.
SALAF TIDAK DISANDARKAN KEPADA MASA ATAU TARIKH
Kalau maksud salaf disandarkan kepada masa atau tarikh maka marhalah salaf telah berlalu dengan kematian mereka iaitu mereka yang hidup dikurun generasi pertama (sahabat) dikurun kedua (tabi’in) dan dikurun ketiga (dizaman para tabi’ut at-tabi’in). Namun jika disandarkan kepada manhaj maka salaf, salafi atau salafiyah kekal berterusan sehingga ke Hari Kiamat.
Tetap sah, diterima dan dianggap sebagai salafi setiap individu apabila menasabkan (menyandarkan) susur galur akidah, ibadah, akhlak atau amal mereka kepada para salaf yang telah berlalu setelah memenuhi syarat-syarat, tuntutan dan komited kepada prinsip manhaj salafi. Hakikat ini bersandarkan kepada sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ اُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقِّ ، لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ ، حَتَّى يَاْتِيَ اَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.
“Akan sentiasa ada satu golongan (kelompok) dari umat ini, yang terang-terangan di atas kebenaran, tidak akan membahayakan mereka sesiapa yang menentang mereka sehinggalah datang urusan Allah sedangkan mereka masih tetap seperti itu (meniti di atas manhaj salaf yang benar)”.[15]
Hadis di atas ini adalah khabar dari Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Melalui sabdanya inilah baginda memberi khabar dan keyakinan kepada orang-orang yang beriman bahawa golongan Salaf as-Soleh akan sentiasa ada disetiap generasi dan zaman sehinggalah ke Hari Kiamat.
PENGERTIAN SALAF MENURUT TERMINOLOGI
Adapun kalimah salaf menurut terminologi: Ia adalah sifat (sikap) yang dikhususkan kepada para sahabat Nabi radiallahu ‘anhum dan sesiapa yang mengikut jejak (mengikut manhaj) mereka dengan baik sehingga ke Hari Kiamat atau yang berittiba’ dengan mereka.[16] Penjelasan atau definisi seperti ini termaktub dalam kitab-kitab turath yang muktabar.
Kalimah salaf adalah kalimah Arab tulin (asli) kerana ia tercatit dalam al-Quran al-Karim. Sebagaimana firman Allah ‘Azza wa-Jalla:
فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلاً لِلاَخِرِيْنَ.
"Maka Kami jadikan mereka (orang-orang) yang terdahulu sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian".[17]
Kalimah salaf atau salafi telah tercatit juga di dalam hadis-hadis dan athar-athar yang sahih, sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : وَلاَ اَرَى اْلاَجَلَ اِلاَّ قَد اقْتَرَبَ ، فَاتَّقِيْ وَاصْبِرِيْ ، فَاِنَّهُ نِعْمَ السَّلَفِ اَنَا لَكِ.
“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Dan tidaklah ada yang sedang aku rasakan pada usiaku kecuali sudah menghampiri (kewafatan) maka bertakwa dan bersabarlah (wahai Fatimah!), sesungguhnya semulia-mulia salaf adalah aku bagimu”.[18]
Dari hadis sahih di atas ini, adalah sangat mulia dan terhormat seseorang yang mengatakan: “Aku adalah seorang salafi”. Pengakuan seperti ini bukanlah suatu yang salah atau bid’ah. Kerana itulah pengakuan yang paling benar dan mulia yang keluarnya dari mulut Rasulullah yang tercinta. Itulah pengakuan Rasulullah yang seluruh umat Islam disuruh mensifati dan mencontohinya.
Tidak boleh merasa aib (malu atau kekurangan) menggelar dirinya sebagai seorang salafi sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.[19] Kerana Rasululullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sendiri telah mengatakan dan mengakui: “Sebaik-baik atau semulia-mulia salaf adalah aku”.
Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengaku diri baginda sebagai seorang salafi yang terbaik, maka bagindalah sebagai contoh yang paling benar dan baik untuk diikuti oleh sekalian umatnya.
Oleh itu tidak boleh dipertikaikan hakikat dan kenyataan ini bahawa sesiapa sahaja yang kembali kepada manhaj Rabbani, manhaj Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, manhaj para sahabat, para tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dan orang-orang yang mengikut manhaj mereka maka dia dinamakan seorang salafi berdasarkan manhajnya bukan zaman atau marhalahnya.
Terdapat sebuah lagi sabda baginda yang menerangkan tentang kesalafan sahabat, baginda bersabda:
فَلَمَّا مَاتَتْ زَيْنَبُ اِبْنَةُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِلْحَقِيْ بِسَلَفِنَا الْخَيْرِ عُثْمَانِ بْنِ مَظْعُوْن.
“Maka setelah Zainab Binti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam meninggal, baginda bersabda: Pertemukan dia dengan salaf kita yang baik Uthman bin Madz’oun”.[20]
Dari sabda Rasulullah: (فانه نعم السلف انا لك)“Sesungguhnya semulia-mulia salaf adalah aku bagimu”. Dan sabdanya: الحقي بسلفنا الخير عثمان بن مظعون)) “Pertemukan dia dengan salaf kita yang baik Uthman bin Madz’oun”. Maka hadis-hadis ini sebagai dalil (hujjah) bahawa gelaran salafi bukan sahaja dikhususkan kepada para nabi dan para sahabat semata, malah sesiapa sahaja yang berittiba’ (mengikut manhaj) mereka sehingga ke Hari Kiamat juga dinamakan salafi. Atau setiap orang Islam yang mengikut pemahaman mereka dinamakan sebagai salafi.[21] Ini menjadi hujjah untuk membuktikan bahawa semua para Nabi, para Rasul dan para sahabat adalah para salaf kita. Ini dapat difahami juga dari pengertian dan definisi salaf dari para ulama kita yang telah menjelaskan:
“Salaf ialah orang-orang terdahulu, mereka terdiri dari para Nabi (dan juga para Rasul), para sahabat, tabi’in dan mereka yang berittiba’ kepada mereka-mereka khasnya para a’immah mujtahid yang empat”.[22]
Adapun salaf menurut syara ialah dikenali juga dengan sebutan Salaf as-Soleh, iaitu:
“Dimaksudkan salaf as-Soleh ialah mereka yang terdiri dari: Para sahabat (radiallahu ‘anhum), tabi’in dan sesiapa yang mengikuti mereka yang terdiri dari a’immatul Islam yang adil, yang disepakati oleh ummah tentang keimaman mereka dalam agama, diagungkan pendapat mereka dalam agama, orang-orang Islam bertalaqi ilmu dengan kata-kata mereka, semua yang terdahulu atau yang sesudahnya dengan penuh reda dan menerima mereka. Seperti a’immah yang empat (Hambali, Syafie, Maliki dan Hanafi. Pent.), dua orang Sufiyan, Laith bin Sa’ad, Abdullah bin Mubarak, Ibrahim an-Nakhii, al-Bukhari, Muslim dan semua ashabu as-sunnan selain yang telah dilontarkan kepadanya gelaran bid’ah atau masyhur dengan gelaran yang tidak diredai seperti Khawarij, Rafidah, Mu’tazilah, Jabariyah dan semua golongan yang sesat. Dan mazhab Salaf ialah sesiapa sahaja yang berjalan di atasnya dan menasabkan i’tiqad (akidah)nya kepada mereka”.[23]
Melalui beberapa definisi, hujjah dari ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih di atas, jelaslah bahawa pengertian salaf ialah: Yang mula-mula, yang awal dan yang terdahulu (generasi pertama dari kalangan sahabat). Istilah ini dikuatkan lagi oleh firman Allah Ta’ala:
وَالسَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْاهُمْ بِاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضَوْا عَنْهُ وَاَعَّـدَ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِيْ تَحْتَهَا اْلاَنْهَارُ خَالِدِيْنَ فِيْهَا اَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيْمِ.
"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar".[24]
Salaf di ayat ini ialah: "Orang yang mula-mula atau orang-orang awal-awal (terdahulu)” iaitu para sahabat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang beriman dengannya.
PARA SAHABAT ADALAH PARA SALAF AS-SOLEH YANG UTAMA
Sahabat: Definisi sahabat menurut ulama hadis ialah: Orang yang bertemu Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam, dia beriman dengannya serta mati dalam keadaan Islam.[25]
Para Salaf as-Soleh yang paling utama diketuai oleh Muhajirin dan Ansar. Mereka adalah golongan sahabat dan telah sepakat sekalian Ahli Sunnah wal-Jamaah tentang keadilan mereka. Tidak ada yang khilaf tentang kemuliaan dan keutamaan mereka kecuali golongan Ahli Bid’ah. Allah telah menjamin kebenaran Muhajirin dan Ansar dalam berkorban jiwa dan raga. Mereka sangat meredai Allah dan Allah meredai mereka. Mereka menjadi pembantu dan pengikut Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam yang paling setia. Mereka paling percaya (beriman), paling benar ketakwaannya dan sebaik-baik umat yang paling suci hatinya yang ada di dunia ini. Mereka berada dalam koridor keIslaman, keimanan yang jernih. Akidah dan ibadah mereka sentiasa disaring oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Allah telah berfirman menjelaskan keadaan para sahabat yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar:
للْفُقَرَآءِ الْمُهَاجِرِيْنَ الَّذِيْنَ أُخْرِجُوْا مِنْ دِيَارِهِمْ وَاَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُوْنَ فَضْلاً مِّنَ اللهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ اُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُوْنَ.
“(Juga) bagi para fuqara yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredaanNya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar”.[26]
كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ للنَّاسِ
“Kamu (para sahabat) sebaik-baik umat dikeluarkan untuk manusia”.[27]
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
اِنَّ اللهَ اخْتَارَاَصْحَابِيْ عَلَى الثَّقَليْنِ سِوَى النَّبِيِّنَ وَالْمُرْسَلِيْنَ
“Sesungguhnya Allah telah memilih (memuliakan) para sahabatku atas semua jin dan manusia, kecuali para nabi dan para rasul”.[28]
اَكْرمُوْا اَصْحَابِيْ ، فَاِنَّهُمْ خِيَارُكُمْ
“Muliakanlah para sahabatku kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang (yang menjadi contoh) terbaik bagi kamu”. [29]
Selain dijelaskan oleh Allah sebagai orang-orang mulia yang benar dan sebaik-baik ummah maka mereka juga dianggap oleh Allah Azza wa-Jalla sebagai umat yang paling adil dan umat pilihan Allah sebagaimana firmanNya:
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ اَمَّةً وَسَطًا
“Dan demikianlah Kami menjadikan kamu (umat Islam terutamanya para sahabat) umat yang adil dan pilihan”.[30]
يَا اَيُّهَا النَّبِيُّ حَسْبُكَ اللهُ وَمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ
“Wahai Nabi, cukuplah Allah (menjadi Pelindung) bagimu dan bagi orang-orang mukmin yang mengikutimu!”.[31]
Kata-kata sahabat Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah hujjah yang wajib diamalkan (diterima pakai). Begitulah menurut qaul Imam Malik, Syafie, Ahmad, kebanyakan ulama usul, ulama fikah Hanafiyah, Ibnu Uqail, Al-Bagdadi, Ibnu Qaiyim juga memilihnya sebagai hujjah sebagaimana terdapat dalam I’lamul Muwaqqi’in, dituruti oleh Syatibi dalam Al-Muwafaqat serta IbnuTaimiyah.[32]
Ingatlah, bahawa para sahabat adalah pembela Rasulullah dengan jiwa dan raga mereka, memelihara sunnah baginda, menolong menyebar agama dan mengangkat martabatnya, mengambil contoh agama dari baginda, mengikut (ittiba’) pada semua yang didatangkan kepada mereka, menyampaikan dan menyalin antara satu dengan yang lain, tiada yang mereka ketahui melainkan disampaikan kepada yang lain!. Rasulullah mengakui tentang kenyataan ini dengan bersabda:
مَامِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ اِلاَّ كَانَ لَهُ فِى اُمَّتِهِ حَوَّارِيُّوْنَ وَاَصْحَابُهُ يَاْخُذُوْنَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُوْنَ بِاَمْرِهِ.
“Tiada seorang nabipun kecuali dibangkitkan oleh Allah Azza wa-Jalla ada bersamanya umat yang menjadi penolongnya, para sahabatnya yang mengambil agama melalui sunnahnya dan mencontohinya dalam melaksanakan semua perintahnya”.[33]
Antara dalil-dalil bahawa kata-kata sahabat itu adalah hujjah ialah firman Allah di dalam al-Quran, sunnah dan athar:
وَالسَّابِقُوْنَ اْلاَوَّلُوْنَ مِنَ الْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ وَالَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُمْ بَاِحْسَانٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ وَرَضُوْا عَنْهُ
“Orang-orang yang mula-mula lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari kalangan muhajirin dan ansar dan mereka yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan merekapun reda kepada Allah”.[34]
Imam Malik rahimahullah berhujjah dengan ayat ini dan menerangkan:
“Sesungguhnya ayat ini mengandungi pujian terhadap para sahabat dan sanjungan ke atas mereka. Mereka berhak menjadi a’immah, apa yang ada pada mereka menjadi contoh ikutan, diambil kata-katanya dan layak menerima sanjungan (dan pujian) bagi sesiapa yang mengikuti keseluruhan mereka atau mengikuti setiap perbuatan mereka selagi mereka tidak menyalahi nas”.[35]
كُنْتُمْ خَيْرَ اُمَّةٍ اُخْرِجَتْ للنَّاسِ تَاْمُرُوْنَ بَالْمَعْرُوْفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ.
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah”.[36]
Diriwayatkan oleh Ibn Jarir dari Dhahak berkata: Mereka itu adalah para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam secara khusus. (Beliau menambah): Yang mana mereka (para sahabat) kalangan perawi-perawi yang diseru agar kaum muslimin mentaati mereka”. Berkata Ibnu Qaiyim: Berdasarkan ayat ini, jelaslah tentang wajibnya mengikut para sahabat.[37] Berkata as-Syatibi: Apabila dibacakan ayat tersebut, ia menunjukkan sunnah para sahabat radiallahu ‘anhum. Segala sunnah yang telah mereka amalkan hanya dirujukkan kepada mereka[38] oleh sekalian ummat sesudah mereka, kerana mereka adalah para salaf yang terbilang.
Diriwayatkan oleh al-Khatib dengan sanad dari ‘Umir as-Sya’bi, beliau berkata:
مَاحَدثُوْكَ عَنْ اَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخُذْهُ
“Tentang apa saja (berkaitan agama) yang diucapkan oleh para sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam,maka ambillah dia”.[39]
Adapun dalil dari hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
خَيْرُ النَّاسِ الَّذِيْ اَنَا فِيْهِ ، ثَمَّ الثَّانِيْ ثُمَّ الثَّالِثِ
“Sebaik-baik kurun adala kurun yang aku berada di dalamnya, kemudian kurun yang kedua (kurun tabi’in) dan kemudian kurun ketiga (kurun tabi’ut at-tabi’in).[40]
Berkata Ibnu Taimiyah rahimahullah:
“Pasti akan menjadi kenyataan bagi sesiapa yang menumpukan perhatiannya kepada al-Kitab dan as-Sunnah, malah telah disepakati oleh Ahli Sunnah wal-Jamaah dari semua golongan, bahawa sebaik-baik kurun bagi ummah ini dari segi amal, perkataan, iktiqad dan merangkumi juga perkara-perkara selainnya maka yang terbaik ialah dikurun pertama (kurun sahabat), kemudian kedua (kurun tabi’in) dan seterusnya ketiga (dikurun tabi’ut at-tabi’in) sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis-hadis yang berbagai jalurnya. Mereka lebih baik dari orang-orang yang sesudah mereka (zaman khalaf) dalam semua kebaikan. Sama ada ilmu, iman, akal, agama, bayan dan ibadah. Mereka lebih utama dalam menjelaskan agama dalam semua persoalan. Semuanya ini tidak dapat ditolak kecuali oleh orang yang memandai dalam agama iaitu agama Islam dan ia telah disesatkan oleh Allah atas (nama) ilmu”.[41]
Hadis ini menunjukkan bahawa selepas apa yang dari Rasulullah ialah athar dari para sahabat. Sufyan ath-Thauri berkata:
اِنَّمَاالدِّيْنُ بِاْلآثَارِلَيْسَ بِالرَّاْيِ اِنَّمَا الدِّيْنُ بِاْلآثَارِلَيْسَ بَالرَّاْيِ
“Sesungguhnya agama itu dengan (mengikut) athar bukan dengan pandangan, sesungguhnya agama itu dengan (mengikut) athar bukan dengan pandangan (pendapat)”.[42]
Berkata al-Auzaii rahimahullah:
عَلَيْكَ بِآثَارِ مَنْ سَلَفَ وَاِنْ رَفَضَكَ النَّاس ، وَاِيَّاكَ وَرَاْيُ الرِّجَال ، وَاِنْ زُخْرُفُوْهُ لَكَ بِالْقَوْلِ
“Hendaklah engkau kembali (berpegang) kepada athar para salaf walaupun engkau disingkir oleh manusia. Berjaga-jagalah engkau dari pendapat (buah fikiran) seseorang, sekalipun ia merupakan kata-kata yang indah (yang mempersonakan)”.[43]
Berkata Abdullah bin Daud rahimahullah:
لَيْسَ الدِّيْنَ بِالْكَلاَمِ ، اِنَّمَا الدِّيْنُ بِاْلآثَارِ
“Bukanlah agama itu yang mengikut perkataan seseorang tetapi agama itu ialah dengan berpegang (mengikut) kepada athar”. [44]
Terlalu banyak hadis dan athar yang sahih memerintahkan agar kita sentiasa berpegang atau kembali dengan athar-athar para sahabat yang sahih kerana mereka adalah para Salaf kita dan mereka telah dimuliakan Allah Azza wa-Jalla.
MUHAJIRIN DAN ANSAR
Para Muhajirin dan Ansar adalah golongan sahabat yang pertama (mula-mula dan paling awal) menerima Islam dan iman secara langsung dari Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Sikap, jiwa dan hati mereka adalah yang terbaik keranatidak dicemari oleh berbagai-bagai pengaruh jahiliyah seperti khurafat, tahayul atau karut-marut. Mereka berada di atas fitrah (agama) yang selamat dan bersih. Mereka menyandarkan akidah mereka hanya kepada wahyu Allah yang suci. Pemikiran mereka tidak ternoda oleh fahaman falsafah metafizik (falsafah-falsafah dari Yahudi, Nasrani dan Majusi terutamanya Falsafah Yunan atau Greek). Pola laku dan pola hidup mereka tidak dikotori oleh kesyirikan, bid’ah atau hawa nafsu. Akidah mereka sentiasa terpelihara.
Allah telah melihat jiwa dan hati para sahabat. Allah menjelaskan bahawa hati mereka adalah sebaik-baik hati setelah hati Rasulullah. Abdullah bin Masoud radiallahu ‘anhu meriwayatkan:
اِنَّ اللهَ نَظَرَ فِى قُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَوَجَدَ قَلْبَ مُحَمَّدٍ خَيْرَ قُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَاصْطَفَاهُ لِنَفْسِهِ ، وَابْتَعَثَهُ بِرِسَالَتِهِ ، ثُمَّ نَظَرَ فِيْ قُلُوْبِ الْعِبَادِ بَعْدَ قَلْبِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَوَجَدَقُلُوْبَ اَصْحَابِهِ خَيْرَقُلُوْبِ الْعِبَادِ ، فَجَعَلَهُمْ وُزَرَاءَ نَبِيِّهِ
“Sesungguhnya Allah telah melihat hati-hati para hamba-hambaNya maka Allah dapati hati Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah hati yang terbaik antara hamba-hambaNya. Maka Dia memilihnya dan diutusnya dengan risalah, kemudian Dia melihat kepada hati-hati para hambaNya setelah hati NabiNya. Maka Dia dapati hati-hati para sahabat adalah hati yang terbaik antara para hamba-hambaNya. Maka Dia jadikan mereka sebaik-baik pendamping NabiNya yang mereka berperang di atas agamaNya”.[45]
Wajib mengikuti (ittiba’) kepada para Salaf as-Soleh terutamanya yang diketuai oleh para sahabat kerana mereka sentiasa mencari keredaan Allah dan mereka telah diredai oleh Allah sebagaimana dijelaskan dalam firmanNya:
رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ
“Allah reda terhadap mereka (para sahabat)”.[46]
يَبْتَغُوْنَ فَضْلاً مِنَ اللهِ وَرِضْوَانًا
“Mereka mencari kurnia dari Allah dan keredaanNya”.[47]
Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa para Salaf as-Soleh terawal (para sahabat), mereka dicintai oleh Allah Azza wa-Jalla dan mereka pula sangat mencintai Allah. Mereka telah diberi balasan dengan kekuatan iman, anugerah ilmu serta ketenangan jiwa dan hati oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Allah berfirman:
لَقَدْ رَضِيَ اللهُ عَنِ الْمُؤْمِنِيْنَ اِذْ يُبَايِعُوْنَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِىقُلُوْبِهِمْ فَاَنْزَلَ السَّكِيْنَةَ عَلَيْهِمْ وَاَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيْبًا
“Sesungguhnya Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)”.[48]
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda tentang ayat di atas:
لاَ يَدْخُلُ النَّارَ اَحَدٌ بَايَعَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ.
“Tidak akan masuk neraka seorangpun yang telah berbai’at di bawah pohon”.[49]
Hujjah-hujjah di atas membuktikan bahawa para salaf kita yang pertama iaitu yang terdiri dari para sahabat radiallahu ‘anhum adalah golongan ahli syurga. Oleh itu merekalah yang paling layak dan benar untuk diikuti dan dicontohi dalam berakidah dan beramal.
________________________________________
[1]. Lihat: Lisanul Arab 2/383. Abi Fadzil Jamaluddin Muhammad al-Afriki al-Misri. Lihat: Kamus al-Muhit. 1/209. Fairus Abadi.
[2]. Lihat: منهج الاستدلال على مسائل الاعتقاد عند اهل السنة والجماعة1/19. Uthman bin Ali Hasan.
[3] . Al-Maidah, 5:48.
[4] . Lihat: At-Tabari, 4/609.
[5]. Lihat: Tafsir Ibn Kathir 2/26. Dan Fathul Qadir 2/48 As-Syaukani.
[6]. Lihat: Sahih Bukhari. 1/46 Fathul Bari (Kitab al-Iman). Diriwayatkan oleh Al-Lalakaii hlm. 66. At-Tabari 6/271. Lihat Ibn Kathir. 3/120. Lihat: Manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah, 1/50. Khalid bin Abdullatif.
[7]. Lihat: At-Tabari, 6/609.
[8]. Lihat: Penjelasan Nasruddin Al-Albani dalam Majalah as-Solah No. 9 Syaban 1414.
[9]. Lihat: معجم مقايس اللغة 3/95 Ibnu Faris. Lihat: Al-Mufradat Fi Gharibil Quran, hlm. 244.
[10]. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.
[11]. Lihat: Lisan 9/159. Ibnu Manzur. 3/2069, Pengertian dinukil oleh Ibn Mansur dari Ibnu Atsir dalam Gharibil Hadis. Lihat: المفسرون للمغراوى 1/18. Lihat: القاموس المحيط Al-Fairuz Abadi.
[12]. Lihat: تحفة المريد على جوهر التوحيد hlm. 231. Ibrahim Baijuri.
[13]. Lihat: الغقائد السلفية بادلتها النقلية والعقلية (شرح الدرة السنية فى عقيدة اهل السنة المرضية 1/11. Ahmad bin Hajar Ali Butami.
[14]. Lihat: لوامع الأنوار البهية 1/26.
[15]. H/R Muslim 3/1523. Kitab al-Imarah.
[16]. Lihat: المفسرون بين التاويل والاثبات 1/19-20.
[17]. Az-Zukhruf, 43:56.
[18]. H/R Bukhari, Kitab al-Isti’zan/Fadail Sahabah. Muslim. 2450. Fadail Sahabah.
[19]. Lihat penjelasan lebih lanjut dalam: Manjmu’ah al-Fatawa. 14/149. Ibnu Taimiyah.
[20]. H/R Ahmad dalam Musnad. 1/237-238. Ibnu Sa’ad dalam At-Tabaqat. 8/37. Hadis ini disahihkan oleh Abul Asybal Ahmad Syakir. Lihat: Syarah al-Musnad 3103.
[21]. Lihat: Majalah as-Solah. No.9. hlm 86-89. Penjelasan al-Albani.
[22]. Lihat: Tuhfatul Murid ‘Ala Jauharah at-Tauhid. Hlm. 231. Ibrahim al-Baijiri. Tahqiq: Abdullah Muhammad Khalil.
[23]. Lihat: منهج الاستدلال على مسائل الاعتقاد عند اهل السنة والجماعة 1/34-35. Uthman bin Ali Hasan.
[24]. At-Taubah, 9:100.
[25]. Lihat: Lamahat Fi Usul al-Hadis. Hlm. 24. Dr. Muhammad Adib Soleh.
[26]. Al-Hasyr, 59:8.
[27]. Ali Imran, 3:110.
[28]. H/R Bazzar dalam Musnadnya. Disebut oleh Ibn Hajar dalam Al-Isabah. 1/21-22. Beliau berkata para perawinya dipercayai. Disebut oleh Al-Haitami dalam Majma’ al-Zawaid 10/16.
[29]. Diriwayatkan oleh Baihaqi dalam Al-I’tiqad. 320. Al-Khatib dalam Tarikh Bagdad. 6/57. Dikeluarkan oleh Ibnu Manduh dalam Kitab al-Iman. 1/961-962. Disebut oleh Al-Albani dalam Silsilah as-Sahihah. 3/109-110 dan dalam Sahih al-Jami’ 2/345.
[30]. Al-Baqarah. 2:143.
[31]. Al-Anfal. 8:64.
[32]. Lihat: اعلام الموقعين Ibnul Qaiyim. 3/120. Lihat: الموافقات 4/74. Syatibi. Lihat: مجموع فتاوى 5/413. Lihat: اقتضاء الصراط المستقيم 2/687.
[33]. H/R Muslim. Dalam Kitab al-Iman. 1/69. Ahmad dalam Musnadnya. 1/458.
[34]. At-Taubah. 9:100.
[35]. Lihat: اعلام الموقعين 4/129.
[36]. Ali Imran. 3:110.
[37]. Lihat: اعلام الموقعين 4/131.
[38]. Lihat: الموافقات 4/74. As-Syatibi.
[39]. Lihat: شرف اصحاب الحديث 74. Al-Khatib
[40]. H/R Muslim. Pada kita Fadhail Sahabat. 2/1960. Abu Daud dalam kitab As-Sunnah 5/44.
[41]. Lihat: مجموع الفتاوى 4/185. Ibnu Taimiyah.
[42]. Lihat: شرف اصحاب الحديث hlm. 6.
[43]. Ibid.
[44]. Ibid.
[45]. Hadis dikeluarkan oleh Ahmad 1/379. Disahihkan oleh Hakim dan disetujui oleh Az-Zahabi.
[46]. At-Taubah, 9:100.
[47]. Al-Hasyr, 59:8.
[48]. Al-Fath, 48:18. [49]. H/R Bukhari dan Muslim.
http://www.rasuldahri.com/index.php?option=com_content&view=article&id=57:manhaj-salaf&catid=25:manhaj&Itemid=76
0 comments:
Post a Comment