Ada pendapat yang telah lama tersebar dalam kalangan agamawan sama ada di negara luar atau di negara kita. Pendapat tersebut ialah kita boleh beramal dengan apa sahaja hadis selagi ia tidak palsu. Beramal dengan hadis dhaif bermaksud: Kita beramal dengan amalan-amalan yang digalakkan atau disebut fadhilatnya di dalam hadis dhaif. Maksud pendapat ini ialah kita sebenarnya tidak perlu terlalu teliti dalam mengkaji hadis-hadis ini kerana kalau sekiranya hadis tersebut dhaif sekalipun, ia masih boleh diamalkan. Ada yang menyangka bahawa pendapat ini adalah pendapat yang telah disepakati ( Ijma’ atau Ittifaq).
Menurut salah seorang ulama hadis zaman ini, Abdullah al Talidi:
Dan pendapat yang memudahkan untuk mengambil hadis dhaif dalam bab sirah (termasuklah bab fadhail) mesti ditinggalkan pada zaman ini dan haruslah mengambil pendapat Yahya Ibn Ma’in (232H), al Bukhari dan Muslim. Pendapat ini yang dinamakan sebagai pendapat orang yang ‘mutasyaddid’ (tegas) yang tidak menerima kecuali yang sahih tidak kira apa jua tajuknya (sama ada dalam bidang hukum-hakam atau fadhail)[1].
Untuk menjelaskan perkara ini dengan seringkas mungkin, saya kemukakan perkara-perkara berikut untuk perhatian kita bersama. Sekiranya para pembaca bersetuju dengan pandangan-pandangan ini, maka ambillah sebagai pedoman :
1- Tidak ada ijma atau ittifaq (kesepakatan) dalam kalangan semua ulama bahawa dibolehkan beramal dengan hadis dhaif. Maka dakwaan bahawa telah disepakati boleh beramal dengan hadis dhaif adalah dakwaan yang tidak tepat sama sekali. Apabila sesuatu perkara itu belum disepakati, maka perlulah kita berusaha untuk mencari pendapat yang terbaik berdasarkan hujah.
2- Kata seorang pengkaji hadis yang terkenal pada zaman ini, Muhammad Nasiruddin al Albani: “Telah masyhur di kalangan ramai ahli ilmu dan penuntutnya bahawa hadis dhaif boleh diamalkan di dalam fadhilat amalan dan mereka menyangka bahawa tiada perselisihan dalam pendapat tersebut”. Seterusnya al Albani menyebut antara sebab utama ramai berpendapat sebegitu ialah kata-kata al Nawawi (676H). Al Nawawi dalam banyak bukunya menyatakan telah disepakati oleh para ulama bahawa boleh beramal dengan hadis dhaif. Pendapat al Nawawi itu diragui ketepatannya kerana terdapat ulama-ulama lain dalam bidang hadis yang tidak sependapat dengan beliau. Al Albani menyebutkan beberapa tokoh yang menolak pendapat tersebut seperti Yahya Ibn Ma’in, Abu Bakr Ibn al Arabi, Ibn Hazm (456H) dan sebagainya[2].
3- Para ulama yang membenarkan kita beramal dengan hadis dhaif telah meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum sesuatu hadis dhaif diamalkan. Pendapat ini merupakan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Hajar al Asqalani. Antara syaratnya ialah: - sanad hadis itu tidak terlalu dhaif, kandungan hadis itu mestilah berkaitan amalan-amalan sahaja dan bukan perkara aqidah atau hukum-hakam, amalan yang dibuat mestilah telah sedia dimaklumi asasnya dalam nas-nas Al Quran dan hadis-hadis sahih (maksudnya ia tidak membawa amalan baru yang tidak ada asas) dan syarat terakhir ialah jangan kita menyebut bahawa hadis dhaif itu benar-benar datang daripada Nabi saw.
4- Syarat-syarat yang diletakkan tadi sebenarnya terlalu sukar untuk dikaji dan dinilai kecuali dari seseorang yang bergelar pengkaji hadis atau muhaddith.
5- Kita mendapati ramai ulama dan pengkaji hadis moden memutuskan bahawa pendapat yang paling tepat dan selamat ialah beramal dengan hadis sahih dan tidak beramal dengan hadis dhaif. Di antara mereka ialah Yusof al Qaradhawi, Muhammad Nasiruddin al Albani, Muhammad Ajjaj al Khathib, Ahmad Syakir, Syuaib al Arnaouth, Abdul Qadir al Arnaouth dan lain-lain lagi.
6- Hadis-hadis sahih sudah banyak dan mencukupi untuk kita jadikan sebagai dalil dan hujah dalam amalan ibadah dan amalan seharian.
7- Suka saya ingatkan di sini dengan kata-kata Ibn Hajar al Asqalani dalam bukunya Tabyin al Ajab yang menggariskan syarat tambahan bagi mereka yang ingin beramal dengan hadis dhaif. Syarat tambahan itu ialah: “Tidak menghebahkannya kepada orang ramai sehingga orang-orang yang jahil menyangka bahawa amalan tersebut adalah dari hadis sahih”[3]. Lihatlah betapa berhati-hatinya beliau dalam membenarkan seseorang beramal dengan hadis-hadis dhaif.
8- Menurut seorang penulis dalam bidang hadis, Subhi al Solih : “Tidak syak lagi menurut pandangan agama bahawa sebarang riwayat yang dhaif tidak dapat dijadikan sebagai sumber hukum syarak dan tidak juga kepada sifat akhlak yang mulia kerana sangkaan (zan) tidak dapat mengatasi kebenaran. Fada’il (kelebihan ibadah) sama seperti ahkam (hukum-hukum) yang tergolong dalam asas-asas agama yang penting dan tidak mungkin asas-asas agama ini dibina di atas asas yang lemah dan tidak kukuh”[4].
9- Salah seorang ulama hadis terkemuka dari Syria, Badruddin al Hasani telah menambah dua lagi syarat untuk beramal dengan hadis dhaif iaitu: “Tidak mengaitkan lafaz hadis itu dengan Nabi SAW dan hadis dhaif itu mestilah tidak menyalahi hadis sahih atau hukum yang telah sedia diketahui”[5].
10-Menyatakan dengan mudah bahawa ‘boleh beramal dengan hadis dhaif’ adalah satu pernyataan yang terlalu umum dan boleh disalah fahami oleh mereka yang tidak mengetahui syarat-syarat yang perlu ada. Perkara ini mungkin menyebabkan ramai orang akan tersalah dalam mengambil hadis-hadis yang sangat dhaif atau palsu dan beramal dengannya. Maka adalah lebih baik dan selamat jika kita tumpukan ke arah beramal dengan hadis-hadis sahih
------------------------------
1]Tahzib al Khashaish an Nabawiyyah al Kubra – as Suyuthi – muka surat 8 – cetakan kedua, 1410H – Dar al Basyair al Islamiyyah, Lubnan.
[2]Tamam al Minnah Fi al Ta’liq Ala Fiqh al Sunnah – al Albani – muka surat 34 – cetakan keempat 1417H – Dar ar Rayah, Riyadh.
[3]Kata-kata ini saya ambil daripada buku Silsilah al Ahadith al Dhaifah – al Albani – huraian hadis no. 451. Sifat para ulama terdahulu terlalu berhati-hati pada tempat yang perlu diteliti.
[4]Ilmu Hadith Satu Pengenalan dan Kajian – terjemahan oleh Arrifin Omar dan Mohd. Nor Ngah – muka surat 198 – Dewan Bahasa dan Pustaka.
[5]Diambil daripada pendahuluan buku Zad al Ma’ad Fi Hadyi Khair al Ibad – Ibn Qayyim al Jauziyyah – muka surat 13 (nota kaki no. 2).
---------------------------------
Sumber:http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu15.htm
0 comments:
Post a Comment