Family Khairul Rashidi: Mencari Sedekah Yang Utama

Mencari Sedekah Yang Utama

 عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أي الصدقة أعظم أجرا؟ قال: (أن تصدق وأنت صحيح شحيح، تخشى الفقر وتأمل الغنى، ولا تمهل حتى إذا بلغت الحلقوم، قلت: لفلان كذا، ولفلان كذا، وقد كان لفلان(.

Daripada Abu Hurairah katanya, seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. Wahai Rasulullah, manakah sedekah yang lebih utama? Baginda bersabda: "Kamu bersedekah dalam keadaan kamu sihat dan tamak, mengharapkan kekayaan dan takutkan kefakiran. Jangan tangguhkan sehingga nyawa di halkum lalu kamu katakan, ini untuk si fulan, itu untuk si anu, sedangkan ia sudah menjadi hak si fulan itu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
Sedekah merupakah salah satu hukum yang disyariatkan sejak umat yang terdahulu. Antara matlamat utamanya ialah mensucikan hati dari sifat bakhil dan membersihkan harta daripada terambil hak-hak orang lain. Kedua-dua matlamat ini merujuk kepada orang yang bersedekah. Manakala matlamat sedekah dengan merujuk kepada penerima ialah membersihkan hati mereka dari kedengkian terhadap orang kaya dan membantu kehidupan mereka yang susah dan tidak berada.

Hadis di atas lebih merujuk kepada mensucikan hati pemberi sedekah dari sifat bakhil. Nasihat dan panduan daripada Rasulullah s.a.w. supaya umatnya mengikiskan dari hati mereka sifat tamak kepada harta dan cinta dunia.  Sahabat sangat bersungguh-sungguh dalam mencari sesuatu yang utama kerana limpahan rahmat dan keberkatan ada di sebaliknya. Mereka sentiasa bertanya sesuatu yang terbaik dan ganjaran yang maksimun. Daripada sini, kita mengatakan merekalah golongan yang terbaik kerana sentiasa mencari-cari keutamaan.

Sesuatu kebajikan janganlah ditangguhkan kerana kesudahan perjalanan di dunia tidak diketahui. Walaupun kita mempunyai kesihatan yang baik, tidak sepatutnya leka dengan keadaan yang selesa.
Kesenangan harta juga tidak berkekalan. Dalam ruang kekayaan yang ada, mestilah direbut segala pahala yang dijanjikan Allah.

Harta diciptakan Allah supaya menusia memanfaatkannya dalam menjalani tugas sebagai hamba-Nya dan khalifah di bumi ini. Harta dijadikan untuk dibelanjakan pada jalannya. Setiap manusia mempunyai keperluan yang tidak berada pada satu peringkat sebagaimana harta yang ada pada setiap orang tidak sama. Melalui kerjasama dalam bentuk infaq seperti sedekah dan zakat jurang ketidaksamaan itu dapat didekatkan.
Kebakhilan dengan harta boleh membinasakan diri begitu juga sikap boros dan membazir.

Yang terbaik adalah bersederhana. Allah s.a.w. berfirman:
وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَى عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. (al-Isra’: 29)

Sifat bakhil dilarang kerana ia menyekat harta daripada memainkan peranannya iaitu memenuhi keperluan manusia. Sementara boros dilarang kerana ia adalah satu bentuk penggunaan harta yang tidak bermatlamat.
Sedekah yang diberikan di ambang maut tidak mempunyai apa-apa kelebihan apatah lagi jika orang lain bersedekah untuk pihaknya. Semuanya tidak mempunyai makna kerana dalam keadaan demikian harta itu tidak lagi menjadi miliknya tetapi milik warisnya. Dalam hal ini Allah s.w.t. mengingatkan:

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ
Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Pada masa itu sedekah itu bukan dilakukannya sendiri tetapi dilakukan oleh warisnya dengan hartanya.
Dalam hadis ini juga Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan gangguan yang biasa dialami oleh orang yang bersedekah iaitu mengharapkan kekayaan dan takutkan kefakiran. Gangguan ini tidak lain dan tidak bukan dari syaitan yang sentiasa membisikkan kejahatan dalam hati manusia. Semuanya akan dapat diatasi dengan meyakini ganjaran yang dijanjikan Allah. Sedekah tidak akan menjadikan seseorang itu faqir malah kebakhilan akan membinasakan diri manusia dan hartanya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
)ما من يوم يصبح العباد فيه، إلا ملكان ينزلان، فيقول أحدهما: اللهم أعط منفقا خلفا، ويقول الآخر: اللهم أعط ممسكا تلفا(.
"Pada setiap hari manusia berada pada waktu pagi dua malaikat turun lalu seorang daripada mereka mengucapkan: "Ya Allah, berilah gantian kepada orang yang melakukan infaq" dan seorang lagi pula mengucapkan: "Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan diri dari membelanjakan harta."
Biasanya dalam keadaan kesenangan dan sihat manusia sering melupakan kehidupan akhirat. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. mengisyaratkan kepada kita supaya sentiasa mengingati kematian dan bersedia untuk menghadapinya.

(Syarah hadis disediakan oleh Ust Muhammad Hanief Awang Yahya untuk www.darulkautsar.net )
http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=460

0 comments:

Post a Comment