MANUSIA itu adalah sebuah komuniti. Demikian firman Allah SWT dalam Al-Quran surah Al-Baqarah: 208. Pernyataan Allah SWT itu semakin terbukti ketika para pakar dan masyarakat antarabangsa menyedari bahawa kita umat manusia ini satu dan berada dalam satu kawasan yang disebut dunia. Tidak ada lagi ‘barat’ dan ‘timur’. Tetapi manusia sebagai pembentuk tamadun masih tetap saja memunculkan dakwaan itu bahkan cenderung diselubungkan di sebalik istilah-istilah baru, seperti modernisasi.
Istilah tamadun kembali mencuat ke permukaan tatkala Samuel P. Huntington mengeluarkan buku yang diberi judul The Clash of Civilization and The Remaking of World (1996). Buku tersebut banyak mengalami penentangan para pakar lain, ketika antara lain, beliau menyatakan bahawa tamadun umat manusia pada masa depan akan mengalami halangan oleh kerana faktor agama.
Persaingan masyarakat dunia dalam segala segi berkembang secara dinamis, bukan hanya secara kuantitatif tetapi telah mengarah kepada kualitatif. Kerananya, siapa yang ingin unggul dan akan menjadi pemenang dalam persaingan itu maka dialah yang akan ‘menguasai’ dunia. Tidak terkecuali masalah tamadun yang masih terkotak-kotak ke dalam paradigma lama melalui istilah ‘tamadun timur’ dan ‘tamadun barat’.
‘Timur’ umumnya didakwa sebagai Islam sementara ‘barat’ didakwa sebagai bukan Islam. Maka persoalan yang sering cagun ke hadapan ialah, apakah masih relevan untuk membezakan lebih-lebh lagi mempertentangkan keduanya, ketika masyarakat di belahan dunia mana pun semakin menyatu ke dalam suatu kehidupan yang oleh para pakar disebutnya sebagai The Global Village.
Dalam usaha memperolehi pengertian dasar dan luas tentang apa itu tamadun, maka terlebih dahulu perlu kita pelajari kaitan langsung antara Islam dengan bahasa Arab. Kata tamadun yang lazim dipakai oleh masyarakat kita dewasa ini sesungguhnya berasal dari bahasa Arab, ia berasal dari kata adab. Tetapi erti dan makna adab itu sendiri tidaklah sama pengertiannya dengan culture dan civilization dalam bahasa Inggeris. Itu pun masih juga mengandungi kontroversi di kalangan para pakar.
Kata adab itu sendiri bererti mengandungi ‘tamadun’ atau ‘kebudayaan’. Untuk melacak bagaimana nisbat (relasi dan relevan) antara tamadun dengan kebudayaan, boleh kita kutip dalam kitab suci Al-Quran. Di sana akan kita temui kata-kata (1) tsaqafat (h) yang terulang sebanyak enam kali dalam bentuk kata kerja yang bererti ‘mendapatkan’ atau ‘menjumpai’ (lihat selanjutnya dalam surah Al-Baqarah: 191, Ali ‘Imran: 112, Al-Nisa: 91, Al-Anfal: 57, Al-Ahzab: 61, Al-Mumtahanah: 2).
Kemudian hadharat (h) yang bererti ‘ada di tempat’. Kata hadharat (h) atau hadhir dalam bahasa Arab juga dipakai oleh masyarakat Malaysia menjadi ‘hadir’ bagi seseorang yang menunjukkan kewujudannya dalam suatu acara, terutama di dalam kelas, kuliah, atau majlis. Jadi, baik tsaqafah atau hadharah keduanya merujuk dan menunjukkan semangat yang sama yakni ‘keadaan sesuatu’, atau ‘ada di sini’, ‘sekelompok manusia’, ‘boleh didapati’, ‘dijumpai’, atau ‘orang-orang yang menetap’.
Selain itu, untuk mengetahui apa yang dimaksudkan dengan ‘kaum yang menetap’ di dalam bahasa Arab, boleh difahami melalui istilah Ahl al-Hadhar atau Al-Hadhar yang keduanya mengandungi satu pengertian ‘orang kota’. Sedangkan lawan kata keduanya adalah Ahl al-Badawah atau Al-Badawi yang bererti ‘orang kampung’ atau ‘orang gurun’.
Dalam hubungannya dengan kata dan istilah di atas, maka ada satu hal yang tidak boleh kita hindari bahawa kesemuanya mempunyai hubungan dengan kata Arab lainnya iaitu madinah, madaniyyah, atau tamaddun. Kerana ketiga-tiganya mengandungi pengertian tempat, peradaban, atau tamadun itu sendiri.
Lantaran itu, adalah menarik untuk menghubungkan masalah ini dengan ada apa di sebalik inisiatif atau gagasan mengapa Rasulullah SAW menggantikan nama Kota Yatsrib dengan Madinah al-Munawwarah atau Madinah al-Rasul.
Dengan adanya pengertian dasar seperti terungkap di atas, boleh dikatakan bahawa tamadun dalam sistem ajaran Islam mengajar umat manusia untuk beradab atau bertamadun, dan berbudaya atau berkebudayaan sesuai dengan kehendak Allah SWT. Untuk mewujudkan itu semua sudah tentu pangkal tolaknya adalah ajaran Islam itu sendiri di mana landasan utamanya adalah iman dan takwa untuk mencapai keredhaan Allah SWT.
Tamadun Global
Dengan pesatnya perkembangan sains, teknologi, dan informasi, dewasa ini sebenarnya sudah tidak ada lagi dominasi tamadun timur dan atau tamadun barat. Yang sekarang ini terjadi adalah, siapa yang menguasai sains, teknologi, dan informasi maka merekalah yang akan mempengaruhi dan ‘menentukan arah’ perjalanan masyarakat global.
Maka, yang segera atau cepat diusahakan untuk diraih dan diwujudkan oleh umat Islam ialah adanya kemampuan yang berkualiti tinggi dari umat sehingga memiliki kemampuan untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara sihat dalam pluralisme kultural masyarakat global.
Tentu yang menjadi cabaran kita ke depan ialah bagaimana agar umat Islam mampu memenangi persaingan dan penguasaan informasi global itu? Bagi umat Islam, sebagaimana dijelaskan oleh Ziauddin Sardar (1988), informasi hanya akan bererti bila ia berada di dalam kerangka pengetahuan tentang masyarakat dan melahirkan keselarasan hidup. Dan pencapaian keselarasan hidup itu hanya akan mungkin bila masyarakat Muslim menjadi produk dan pengguna dari informasi itu sendiri.
Dalam perspektif ajaran, Islam membenarkan dan mengakui adanya pluralisme tamadun. Sebab pluralisme tersebut adalah sesuatu yang sunnatullah. Bahkan pluralisme seharusnya mampu memperkaya umat Islam untuk dijadikannya sebagai sarana dalam mengembangkan tugas atau missi ketuhanan dan kemanusiaannya.
Persoalannya ialah apakah umat Islam mampu menugaskan diri dalam komuniti umat sebagai yang diisyaratkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran, antara lain, ‘Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat manusia) umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan mansia.’ (surah Al-Baqarah: 143).
Dalam pergumulan tamadun itulah terjadi persaingan dan perlumbaan bahkan pertarungan untuk saling menjatuhkan dan meminggirkan, bukannya saling melengkapi dan memperbaiki. Dari segi dasar dan ajaran mengenai bagaimana tamadun itu, sebetulnya tidak ada masalah. Masalahnya ialah seberapa jauh kemampuan umat Islam merespon dan merekayasa masyarakat dunia agar sesuai dengan ajaran yang diyakininya.
Dengan semangat fastabiq al-khayrat dan khayra ummat maka umat Islam harus mempertaruhkan nilai-nilai ajaran yang diyakininya. Adanya pertarungan nilai-nilai kehidupan yang dianut oleh masyarakat global, menurut Spranger memang setiap manusia dituntut secara moral memiliki tanggungjawab untuk memperjuangkannya. Itulah sebabnya, gaya hidup manusia dalam memperjuangkan itu semua dikategorikan oleh para pakar ke dalam enam jenis dominan iaitu:
1. Pertama, manusia teoretis. Nilai utama bagi manusia teoretis ialah pencarian kebenaran. Kerana usaha ini melibatkan penggunaan proses rasional, kritis, dan empiris. Yang termasuk ke dalam jenis ini adalah umumnya kaum intelektual.
2. Kedua, manusia ekonomis. Jenis ideal manusia ekonomis ialah menilai apa yang berguna dan mencurahkan perhatiannya pada dunia perniagaan atau peristiwa-peristiwa praktis yang berhubungan erat dengan produksi, pemasaran, atau konsumsi barang. Perhatian jenis ini umumnya terletak pada kekayaan dan kepemilikan harta.
3. Ketiga, manusia estetis. Jenis manusia estetis selalu memandang bahawa nilai yang tertinggi ialah bentuk dan harmoni. Boleh jadi seorang artis yang kreatif atau tidak, tetapi minatnya adalah pengalaman artistik atau estetis dalam kehidupannya. Manusia estetis selalu memandang manusia ekonomis dan teoretis tidak aspiratif dan bahkan dianggapnya bersikap destruktif pada nilai-nilai estetis.
4. Keempat, manusia sosial. Jenis manusia ini senantiasa meletakkan nilai utamanya pada afiliasi dan cinta. Manusia sosial sering menilai orang lain sebagai individu, cenderung ramah, dan simpatetik. Mereka seringkali memandang manusia teoretis dan manusia ekonomis sebagai ‘manusia-manusia yang dingin’ dan tidak manusiawi.
5. Kelima, manusia politis. Jenis manusia seperti ini senantiasa menempatkan nilai utama kehidupannya pada kekuasaan. Kegiatannya mungkin tidak terbatas pada pengertian politik dalam makna sempit melainkan perhatian umumnya dalam pergaulan selalu ada kekuasaan, pengaruh dan persaingan aktif untuk mempertahan dan memperbesarkan kekuasaannya.
6. Keenam, manusia beragama. Jenis manusia beragama adalah menjadikan kesatuan sebagai nilai yang tertinggi. Ia adalah manusia mistikal yang selalu berusaha memahami dan menggabungkan dirinya dengan kosmos dan menemukan pengalaman nilainya yang lebih tinggi melalui falsafah keagamaan yang diyakininya.
Meski kelihatannya enam jenis manusia di atas masing-masing akan mengusaha dan memperjuangkan eksistensinya di dalam kehidupan peribadi dan masyarakat luas, namun tidak ada satu pun manusia yang secara ideal mampu secara utuh menunjukkan siapakah dirinya yang sesungguhnya.
Pentingnya Membina Sistem
Belajar dari masa silam bagaimana sebuah tamadun Islam dibina oleh nabi Muhammad SAW yang kemudian dilanjutkan oleh para sahabatnya. Pada masa itu, Nabi Muhammad SAW mampu menyusun kekuatan baru untuk melakukan reformasi tamadun secara total mulai dari ideologi, teologi, hingga kepada kultural dan hasilnya sangat mengesankan. Kemudian usaha baginda itu dilanjutkan oleh para penguasa muslim melalui fondasi bangunan teologi yang kukuh, penguasaan dan pengembangan sains atas dasar semangat iqra dan amal soleh.
Atas dasar itu, sejarah dan khazanah kita pada masa lampau terutama sejak pemerintahan Nabi Muhammad SAW di Madinah hingga tahun 1250 Masehi yang ditandai dengan berakhirnya masa kejayaan Sepanyol Islam di daratan Eropah, umat Islam mampu mewujudkan suatu tatanan masyarakat yang bertamadun tinggi.
Adalah menarik untuk mempelajari kejayaan umat Islam di Sepanyol, di mana intelektual muslim sangat maju dalam bidang pemikiran termasuk di dalamnya yang diajarkan oleh Ibn Rusyd (yang oleh Barat diberi dan dikenal dengan nama Averrous).
Para pemuda Kristian banyak yang belajar di universiti-universiti Islam seperti Universiti Cordova, Seville, Malaga, Granada dan Samalanca. Selama belajar di Sepanyol mereka giat menterjemahkan buku-buku karya intelektual muslim ke dalam bahasa mereka. Ilmu yang mereka pelajari dan diterjemahkan ialah ilmu kedoktoran, ilmu pasti, falsafah dan sebagainya.
Khususnya di bidang falsafah mereka senang kepada pemikiran-pemikiran filosofis Al-Farabi, Ibn Sina, dan Ibn Rusyd. Kelak, setelah mereka kembali ke negerinya masing-masing mereka mendirikan berbagai universiti. Adapun universiti yang pertama kali mereka dirikan di daratan Eropah adalah Universiti Paris pada tahun 1231 Masehi, tiga puluh tahun setelah Ibn Rusyd meninggal dunia.
Dengan demikian, untuk mewujudkan tamadun Islam maka perlu kiranya memperhatikan keterkaitan berbagai elemen-elemen dasarnya iaitu:
1. Adanya semangat hijrah dan tajdid dari semua pihak secara menyeluruh,
2. Adanya “political will” dari pihak penguasa,
3. Keteladan dan kepeloporan penguasa,
4. Memiliki kemampuan untuk menggali informasi dan menerapkan ajaran Al-Quran,
5. Adanya penguasaan dan memajukan sains dan teknologi,
6. Seluruh bidang kehidupan umat diusahakan semaksima mungkin digali dari nilai-nilai Islam.
Sebab bukankah kitab suci Al-Quran itu diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia jauh sebelumnya yang kini telah melampaui batas-batas imaginasi, kemampuan nalar serta ambisi-ambisi manusia itu sendiri? Dan dalam kerangka itu pulalah kerananya, Al-Quran dipersiapkan Allah SWT agar ia dijadikan panduan oleh manusia untuk menata sebuah kehidupan yang bertamadun yang sarat akan nilai-nilai ketuhanan dan nilai-nilai kemanusiaan.
Oleh Syed Mahadzir Syed Ibrahim
12 August 2009
http://www.yadim.com.my/Sosial/SosialFull.asp?Id=585
0 comments:
Post a Comment