Aliran Islam Liberal boleh dikenali melalui beberapa manhaj atau ciri-ciri yang semuanya mengarahkan kepada pembukaan dan pembebasan tafsiran agama. Berikut ini akan disenaraikan beberapa manhaj utama mereka yang penulis ringkaskan daripada pelbagai sumber mereka sendiri
Sebelum itu ingin penulis ingatkan para pembaca yang budiman sekalian bahawa sebahagian daripada manhaj yang bakal disenaraikan mungkin merupakan sesuatu yang tidak dapat digambarkan sebagai yang diusulkan oleh orang yang mengaku diri mereka sebagai umat Islam. Namun inilah yang dikatakan sebagai ‘Islam Liberal’, iaitu Islam yang “terbuka dan bebas daripada belenggu tafsiran lama ke arah tafsiran yang baru lagi segar demi kejayaan umat”.
Manhaj Islam Liberal tentang agama Islam.
Aliran Islam Liberal berpendapat agama Islam adalah agama yang benar. Namun pada waktu yang sama aliran Islam Liberal juga berpendapat semua agama selain Islam adalah benar juga. Apabila setiap penganut agama mendakwa hanya tuhannya dan ajarannya sahaja yang betul, itu hanyalah dakwaan yang relatif dalam konteks dia dan agamanya sahaja. Jika dilihat daripada konteks keseluruhan agama, maka semua agama yang memiliki konsep ketuhanan yang mengajar kepada kebaikan adalah sama-sama benar.
Manhaj seperti ini didirikan oleh Islam Liberal dengan tujuan supaya manusia yang menganut agama Islam dapat menggunakan sepenuhnya masa dan tenaganya untuk mencapai kemajuan tanpa dibazirkan kepada usaha membenarkan agamanya sahaja. Manhaj kesamaan antara agama merupakan manhaj utama aliran Islam Liberal. Bahkan ia adalah satu manhaj tersendiri yang unggul memandangkan agama-agama lain di dunia, sama ada yang masih tulen atau yang telah diubah suai, tidak ada yang mendakwa manhaj kesamaan antara agama.
Keunggulan manhaj utama Islam Liberal ini bukanlah menunjukkan keistimewaan mereka tetapi sebaliknya menunjukkan keterdesakan mereka mengorbankan segala sesuatu demi mencapai kehendak akal dan nafsu mereka.
Manhaj Islam Liberal tentang al-Qur’an.
Aliran Islam Liberal membahagi wahyu kepada dua ketagori: wahyu bertulis dan wahyu tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Qur’an dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Qur’an berdasarkan tujuan, konteks dan suasana zaman. Maka dengan itu al-Qur’an adalah sesuatu yang hanya bersifat menerangkan tujuan-tujuan agama manakala akal manusialah yang menyesuaikannya selari dengan konteks zaman.
Sebagai contoh, terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Maidah 5:38], tujuan yang sebenarnya dituntut oleh al-Qur’an adalah menjatuhkan hukuman kepada pencuri. Bentuk hukuman boleh berubah-ubah selari dengan peradaban manusia. Di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, bentuk hukuman adalah memotong tangan. Namun pada zaman kini bentuk hukuman boleh berubah kepada hukuman penjara selari dengan peradaban manusia.
Demikian manhaj ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Qur’an yang dipegang oleh aliran Islam Liberal atas alasan untuk memajukan umat Islam. Manhaj ini juga mereka guna pakai terhadap semua hukum-hukum al-Qur’an termasuk perkara ibadah, sehingga apa yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam tidak semestinya dipraktikkan dalam bentuk yang sama pada zaman kini. Terhadap umat Islam seluruhnya yang tetap beristiqamah kepada ayat-ayat al-Qur’an, aliran Islam Liberal menyindir mereka sebagai “para penyembah teks” semata-mata.
Selain itu aliran Islam Liberal juga memiliki takwilan tersendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza daripada pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Mereka menggariskan formula membaca al-Qur’an dengan metodologi yang baru. Hasilnya, aliran Islam Liberal berpendapat bahawa malaikat dan syaitan tidak wujud sebagai makhluk yang tersendiri melainkan ia adalah sikap baik dan buruk yang wujud saling bertentangan dalam setiap jiwa manusia (the good and evil sides of man). Syurga dan neraka tidak wujud melainkan ia adalah kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat juga tidak wujud melainkan ia adalah fasa manusia untuk berubah dari satu tingkatan ke tingkatan lain yang lebih matang dan sempurna. Cerita-cerita al-Qur’an tentang para Rasul, Nabi dan umat terdahulu sebenarnya hanyalah strategi demi keberkesanan dakwah. Para Rasul, Nabi dan umat terdahulu ini sebenarnya tidak wujud secara realiti. Sementara keimanan kepada Qadar dan Qada’ serta takdir tidak wujud, ia hanyalah salah tafsir umat terdahulu terhadap teks-teks al-Qur’an.
Mempercayai malaikat, syaitan, syurga, neraka, hari akhirat, cerita umat terdahulu serta takdir secara zahir hanyalah tahayul yang menghalang kemajuan umat. Selagi mana umat percayakan unsur-unsur tahayul tersebut, selagi itulah mereka akan terhalang daripada mencapai kejayaan yang bersifat hakiki. Demikianlah beberapa takwilan dan manhaj sesat aliran Islam Liberal yang mereka bangunkan atas formula Re-reading the Qur’an.
Manhaj Islam Liberal terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam
Sifat Nubuwah yang dimiliki oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam tidak lain hanyalah kemampuan seorang manusia untuk memimpin manusia yang lain (leadership values). Oleh itu siapa sahaja yang boleh memimpin boleh mengambil alih sifat nubuwah seumpama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam dalam memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Demikian dakwa aliran Islam Liberal.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam – lanjut aliran Islam Liberal – hanyalah manusia biasa yang lazimnya berbuat silap dan benar. Namun umat Islam selama ini berpura-pura bahawa baginda adalah manusia yang sempurna, sehingga mereka juga – selain daripada menyembah teks al-Qur’an – juga menyembah Rasulullah. Yang benar peribadi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam tidak lebih hanyalah sebagai manusia biasa yang boleh dipuji dan dikritik. Justeru umat dituntut bersikap kritis untuk menimbang kelebihan dan kekurangan baginda.
Oleh kerana itulah kita dapati tokoh-tokoh aliran Islam Liberal – termasuk di Malaysia – tidak segan-segan untuk mengkritik Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Di antara mereka ada yang menuduh baginda bernafsu seks yang kuat dan memiliki banyak perempuan simpanan (gundik). Ada juga yang menuduh baginda bukanlah pemimpin negara Islam tetapi hanyalah sekadar pegawai daerah (DO – District officer) semata-mata.
Adapun sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, maka tanpa ragu aliran Islam Liberal berpendapat ia hanya releven untuk masyarakat arab zaman baginda, ketinggalan untuk dipraktikkan pada zaman kini. Justeru aliran Islam Liberal memandang orang yang berjanggut, bersiwak, memakai serban, jubah dan sebagainya sebagai orang yang ketinggalan zaman lagi tertutup mindanya. Apabila minda mereka tertutup, sudah tentu tertutup juga pintu-pintu kejayaan sehingga bila-bila.
Merujuk kepada beberapa peristiwa kemukjizatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, aliran Islam Liberal berpendapat ia hanya kisah-kisah yang direka cipta dan dibesar-besarkan (exaggeration) oleh orang-orang selepas kewafatan baginda. Contohnya ialah peristiwa Isra’ dan Mikraj, ia hanyalah mimpi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam yang dibenarkan ke alam realiti oleh orang-orang yang taksub terhadap baginda.
Manhaj Islam Liberal terhadap hadis-hadis.
Aliran Islam Liberal memiliki beberapa manhaj terhadap hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, sekalipun yang termuat di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim. Antaranya:
[1] Hadis-hadis tersebut tidak berasal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam melainkan hanya ciptaan orang-orang yang ingin menjaga dan memanfaatkan kepentingan diri mereka.
[2] Hadis-hadis yang benar hanyalah yang bersifat mutawatir manakala hadis ahad bersifat samar-samar dan tidak menjadi tuntutan ke atas umat untuk berpegang kepadanya.
[3] Hadis-hadis yang mutawatir sekalipun, kebenarannya hanya dalam konteks kehidupan masyarakat Arab pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Ia tidak lagi releven untuk zaman kini kecuali sebagai kajian sejarah peradaban pada zaman baginda.
[4] Hadis-hadis tentang azab kubur, suasana hari akhirat (Padang Masyar, Titian Sirat, Pengadilan dsbgnya), Isra’ dan Mikraj, Dajjal, Penurunan Nabi Isa, fitnah-fitnah akhir zaman dan sebagainya hanyalah cerita rekaan para perawi hadis untuk memberi pengaruh kepada orang ramai pada zaman mereka. Sekalipun hadis-hadis ini tercatit di dalam kitab-kitab hadis sahih, pada hakikatnya ia hanyalah cerita-cerita tahayul semata-mata.
[5] Kesilapan paling besar yang dilakukan oleh para imam hadis adalah mereka hanya memberi tumpuan kepada para perawi hadis dan tidak kepada matan hadis. Seandainya mereka memerhati dan memberi kritik ke atas matan hadis, nescaya cerita-cerita tahayul sepertimana di atas tidak akan mereka masukkan dalam kitab-kitab mereka.
Demikianlah beberapa manhaj aliran Islam Liberal ke atas hadis-hadis dan para imam yang meriwayatkannya.
Manhaj Islam Liberal terhadap ilmu-ilmu Islam.
Ilmu-ilmu Islam seperti usul tafsir, usul fiqh, usul hadis, al-Jarh wa al-Ta’dil (kritik perawi hadis) dan sebagainya yang selama ini merupakan sesuatu yang baku di dalam disiplin ilmu-ilmu Islam diremehkan oleh aliran Islam Liberal sebagai buatan manusia (man made) yang tidak sunyi daripada pelbagai kecacatan dan kesalahan. Oleh itu aliran Islam Liberal tidak menghormati ilmu-ilmu di atas, jauh sekali daripada menggunakannya dalam tafsiran mereka untuk “membuka dan membebaskan” Islam.
Atas dasar ini juga aliran Islam Liberal membuka semula perbincangan, tafsiran dan ijtihad terhadap perkara-perkara yang sudah muktamad (qath‘iy) kedudukannya di dalam agama. Mereka mendakwa apa yang selama ini dianggap qath‘iy hanya relatif kepada pendapat manusiawi. Yang benar – menurut aliran Islam Liberal – perkara-perkara yang dianggap qath‘iy tersebut masih terbuka dan bebas kepada pelbagai kemungkinan dan maksud. Atas kepelbagaian ini mana-mana pihak tidak boleh mendakwa pendapatnya sahaja yang benar, bahkan semua pendapat adalah benar tanpa mengira sebesar mana luasnya jurang pendapat tersebut.
Senada dengan itu, aliran Islam Liberal juga tidak menghormati ulama-ulama dunia Islam daripada dahulu sehingga kini. Pada mereka ulama-ulama tersebut hanyalah manusia biasa yang dibelenggui dengan tafsiran jumud akibat daripada “penyembahan mereka terhadap teks dan kaedah-kaedah usul yang mereka cipta sendiri.” Oleh itu bukanlah satu keasingan apabila tokoh-tokoh aliran Islam Liberal secara terbuka menolak atau merendahkan pendapat seseorang ulama dengan alasan “Itu hanya perkataan ulama yang boleh kita terima atau tolak.”
Manhaj Islam Liberal terhadap hukum-hukum fiqh.
Aliran Islam Liberal memiliki kaedah usul tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum fiqh, iaitu yang diambil adalah tujuan hukum dan bukan bentuk hukum. Bagi mereka, tujuan hukum adalah menjaga kemaslahatan manusia. Justeru bentuk hukum boleh diubah-ubah asalkan ia dapat menjaga kemaslahatan manusia sesuai dengan zaman yang mereka hidup.
Atas dasar ini, aliran Islam Liberal tidak segan-segan untuk merubah bentuk hukum yang sedia tertera di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sebagai contoh, pembahagian harta faraid boleh diubah suai kepada apa yang ‘adil’ antara ahli waris, hak suami menjatuhkan talak diangkat manakala kes-kes penceraian hanya boleh diputuskan oleh hakim mahkamah, perkahwinan poligami dilarang, hak persaksian wanita dalam kes-kes jenayah adalah sama dengan lelaki, kes jenayah (hudud) boleh diubah suai bentuk hukumannya kepada peradaban sezaman – malah – asalkan sesebuah negara itu memiliki hukuman jenayah tersendiri ia sudah dianggap menepati tuntutan agama, arak tidak haram selagi peminumnya tidak mabuk, masa ibadah (solat, haji, puasa) boleh diubah suai kepada masa yang selesa untuk masing-masing individu dan pelbagai lagi.
Contoh paling masyhur dalam usaha aliran Islam Liberal untuk membuka dan membebaskan tafsiran hukum fiqh Islam ialah dalam bab aurat wanita. Di mana sahaja wujud aliran Islam Liberal, akan wujud juga penafsiran semula ke atas batas aurat wanita. Ringkasnya, aliran Islam Liberal mendakwa bahawa menutup aurat – khasnya memakai tudung – hanyalah peradaban masyarakat arab di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Dalam abad-abad awal selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam, bentuk pakaian bertudung dan menutup tubuh badan seluruhnya telah menyelinap masuk ke dalam syari‘at Islam sehingga dianggap sebagai salah satu kewajipan agama. Kewajipan yang sebenar – dakwa Islam Liberal – adalah apa sahaja bentuk pakaian yang dianggap sopan oleh masyarakat selari dengan tuntutan zaman dan peradaban.
Bahaya Islam Liberal
Jika sebelum ini kaum Yahudi dan Nasrani telah mengubah ajaran-ajaran agama mereka, maka kini kita juga ada sebahagian umat beraliran Islam Liberal yang mengubah ajaran-ajaran Islam. Jika kita mengkaji secara mendalam tentang manhaj aliran Islam Liberal sepertimana yang disenaraikan di atas, mudah untuk disimpulkan bahawa mereka adalah sekelompok manusia yang menyembah akal dan mempertuhankan peradaban Barat dalam beragama. Mereka ingin bebas daripada penjajahan dan kemunduran, namun sayang sekali yang bebas hanyalah tubuh badan manakala pemikiran mereka masih terjajah dan mundur menjadi hamba kepada negara-negara Barat. Mereka ingin menjadi moden padahal kemodenan mereka hanya tiruan kepada model negara-negara Barat yang pada asalnya tidak mengkehendaki apa-apa kebaikan kepada mereka. Apakah erti kemodenan yang diikut-ikut jika ia mengorbankan maruah dan harga diri?
\
Mereka mencari kejayaan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai Allah Subhanahu wa Ta’ala tetapi dengan manhaj mengikuti orang-orang bukan Islam. Dengan cara ini mereka berharap memperoleh kekuatan dan kemuliaan padahal kekuatan dan kemuliaan tersebut hanyalah milik Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini sebenarnya merupakan salah satu ciri orang munafik sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah.” [al-Nisa’ 4:138-139]
Malah tidak berlebihan jika dikatakan bahawa aliran Islam Liberal sebenarnya ingin mencipta agama tersendiri, lalu menumpang sekaki di atas agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan. Yang mereka inginkan bukanlah agama Allah dan Rasul-Nya tetapi agama akal dan peradaban manusia.
Terhadap golongan seperti ini Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [surah ‘Ali Imran 3:85]
Yang benar kita umat Islam yang beriman sama ada lelaki atau perempuan, tidak boleh mengubah apa-apa ketentuan yang telah dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam. Barangsiapa yang menukar, menambah, mengurang, menyeleweng dan sebagainya, mereka tergolong dalam orang-orang yang sesat sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzab 33:36]
Kejayaan tidak diukur berdasarkan nalar akal atau peradaban kaum lain tetapi diukur dengan nilai ketaatan kepada syari‘at Allah dan Rasul-Nya. Demikian itulah sikap orang-orang beriman yang berjaya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat", dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. [al-Nur 24:51]
Penulis: Hafiz Firdaus Abdullah
(www.al-firdaus.com
-
0 comments:
Post a Comment